SETIAP
manusia tidak terkacuali daripada ditimpa masalah kesihatan, sama ada berpunca
akibat kemalangan kecil atau besar, wabak penyakit, faktor usia, pemakanan
mahupun genetik.
Apabila
kita ditimpa musibah kesakitan tidak kira ringan atau berat, menjadi kebiasaan
ramai mengeluh bukan sahaja kerana sakit, sebaliknya merasakan ia menyukarkan
kehidupan dalam melakukan urusan seharian.
Jadi,
kerana apa pula kesakitan ini sebenarnya dikatakan satu nikmat diberi Allah
kepada makhluk-Nya ?
Kesakitan
adalah satu nikmat Allah kerana yang pertama, setiap kesakitan diberi Allah SWT
sebagai ‘kifarah’ atau balasan terhadap dosa yang dilakukan manusia, sekali gus
ia menghapuskan dosa berkenaan.
Kedua,
apabila seseorang itu dilanda kesakitan, ia sebagai panduan untuk muhasabah
diri. Jika dulu seseorang itu sukar berdoa kepada Allah SWT, pastinya apabila
ditimpa kesakitan, Allah menjadi tempat kita berdoa.
Apabila
seseorang itu berdoa, ia secara tidak langsung sebenarnya sebagai kayu pengukur
kepada tahap iman seseorang hamba-Nya sama ada masih menebal atau nipis.
Namun,
apabila seseorang itu masih gagal memohon perlindunga dan mengingati Allah SWT,
ia bukti bahawasanya hilanglah iman didalam dirinya.
Ketiga,
nikmat kesakitan itu menjauhkan seseorang itu dengan parkara maksiat serta mungkar yang
mungkinakan dilakukan sewaktu sihat.
Jadi,
apabila ditimpa Allah kesakitan, ia menghindarkan seseorang itu terbabit dalam
maksiat atau dosa yang mungkin lebih teruk balasannya daripada kesakitan diberi
Allah SWT.
Keempat,
sakit adalah nikmat kerana ia satu ruang bagi seseorang mendapatkan pahala.
Namun, bagaimana pula kesakitan itu menerbitkan pahala?
Pahala
akan diterima apabila seseorang itu bersabar dengan ujian kesakitan berkenaan
tanpa keluhan dan menghargai waktu sihatnya dengan mempebanyakkan amalan
kebaikan.
Paling
mudah, jika waktu sihat, amal ibadat serta doanya kepada Allah SWT menjadi
singkat dan seboleh-bolehnya ingin dilakukan dengan cepat, tetapi waktu sakit,
pastinya ramai daripada kita sanggup duduk lama untuk berdoa serta melakukan
pelbagai amalan sunat lain tidak kira dengan melakukan solat sunat, berzikir
atau membaca al-Quran.
Allah
SWT dalam firman-Nya menerusi surah Al-Mulk, ayat 2 menyatakan bahawasanya:
“Dialah yang mencipta mati dan hidup untuk menguji siapa diantara kamu yang
paling baik amalannya.”
Oleh
itu, ingatlah bahawa Allah SWT memberi kesakitan supaya manusia dapat memperbanyakkan
ibadah kepada-Nya dan ingat mengenai kekuasaan-Nya.
Kesakitan
adalah satu nikmat untuk mematahkan serta melemahkan nafsu manusia yang boleh
menjerumus kepada kelalaian, kesombongan serta keangkuhan, selain dikhuatiri
menerbitkan sifat buruk dalam diri.
Sentiasa
bersabar dalam menerima ujian Allah dan ingatlah, Allah memberikan nikmat
kesakitan untuk menyedarkan hamba-Nya dan ia bukti kasih sayang Allah yang
tidak mahu hamba-Nya terus terjerumus dalam kesesatan hidup.
No comments:
Post a Comment